KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Agenda reformasi tatakelola pentadbiran dan antirasuah menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dalam merencana hala tuju negara yang lebih baik.
Demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan bersama-sama Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara.
"Walhasil, pelbagai isu telah dibincangkan dalam menjulang agenda reformasi yang dirancang ini termasuk mengadakan sesi libat urus selain mengesyorkan cadangan penambahbaikan agar usaha dalam mereformasikan institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar hari ini mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Hukama’ Muslimin, Muhamed Abdul Salam.
Ia susulan Lawatan Rasmi Syeikh al-Azhar dan juga Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin, al-Imam al-Akbar Prof Dr Ahmad Mohamed al-Tayyeb pada Julai lalu.
"Kami telah berbincang mengenai rancangan pertemuan seterusnya bersama Imam Besar Al-Azhar, Fadhilatul Imam Al-Akbar Dr Ahmed Al-Tayeb dalam masa yang terdekat dalam mengembangkan lagi perbincangan mengenai tema ucapannya di Kuala Lumpur sebelum ini bertajuk “Kesederhanaan Umat Islam, Pengajaran dari Masa Lalu dan Cabaran Masa Hadapan”.
"Insya-Allah, saya akan kembali bertemu dan turut bersama Syeikh Al-Azhar dalam program yang akan datang sebagai salah satu ikhtiar membangun kefahaman dan tradisi keilmuan yang boleh membugar kekuatan dalaman umat," katanya.