KUALA LUMPUR, 20 September - Keunikan dan potensi produk tempatan bakal diketengahkan pada Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kedua-dua acara itu bakal berlangsung dari 22 September hingga 26 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertanggungjawab sebagai peneraju tonggak ekonomi, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
''Saya sebagai Menteri MITI memimpin perbincangan ini untuk mengeratkan hubungan perdagangan dan ekonomi dengan rakan-rakan dalam dan luar Asean. Antaranya termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Kesatuan Eropah, Jepun, India dan United Kingdom.
''Matlamatnya jelas, kita nak kukuhkan peranan ASEAN dalam rantaian nilai global dan capai aspirasi untuk jadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030,'' katanya.
Mesyuarat AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan akan membuka tirainya pada Isnin ini dimulakan dengan sesi perbincangan Mesyuarat ke-5 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (5th AGTF) dan Mesyuarat Penyediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (Prep-SEOM) bagi AEM ke-57.
Pelbagai agenda penting serantau dan global akan turut dibincangkan sepanjang acara lima hari termasuk Mesyuarat AEM ke-57–Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 dan Mesyuarat AEM ke-57–Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-28.