fb fb fb fb fb

Pelabur asing terus yakin dengan ekonomi Malaysia

Foto hiasan / BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 20 September - Ketidaktentuan ekonomi global, tidak menghalang Malaysia melepasi paras dagangan eksport RM1 trilion, sebulan lebih awal berbanding tahun lalu. 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, prestasi itu mencerminkan daya saing negara serta keyakinan berterusan pelabur asing.

Pencapaian tersebut turut dipacu tindakan syarikat mengeksport produk lebih awal, sebelum sekatan perdagangan dalam bentuk tarif, oleh Amerika Syarikat.

"Sejak dua tiga tahun lalu, banyak pelaburan bertapak di Malaysia. Mereka adalah syarikat-syarikat yang sebelum ini, sebelum COVID-19 mereka mungkin bertapak di China.

"Tapi sekarang ni kerana 'China Plus One' dan strategi-strategi syarikat, mereka bertapak di sini. Jadi kita sudah melihat beberapa produksi ini sudah mengeluarkan produk," katanya.

Terdahulu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan Malaysia mencatatkan nilai eksport lebih tinggi bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dengan jumlah RM1.03 trilion.

Ia sekali gus melepasi paras RM1 trilion, sebulan lebih awal, berbanding tahun 2024 dan bagi tempoh sama, import berkembang 3.6 peratus kepada RM945.62 bilion.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID