fb fb fb fb fb

ADUN Sanglang dilantik Menteri Besar Perlis ke-8

(Mohd Shukri Ramli angkat sumpah Menteri Besar Perlis)

ARAU, 22 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu petang tadi.

Beliau menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Mohd Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Mohd Shukri, 61 menjadi Menteri Besar Perlis ke-8.

Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai Menteri Besar dipersetujui kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin pada Isnin.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi DUN selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


(Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan
dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis)

 

Media Baharu