fb fb fb fb fb

Adnan Yaakob terima ijazah undang-undang pada usia 72 tahun

KUALA LUMPUR, 5 Disember- Minat pada ilmu pengetahuan menjadi pendorong utama kepada bekas Menteri Besar Pahang ke-14, Tan Sri Adnan Yaakob sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu menerima skrol ijazahnya daripada Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Beliau merupakan antara 414 graduan penerima ijazah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa ke-38, juga dianugerahkan Rector's List kerana berjaya menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62 pada usia 72 tahun.

Berkongsi perjalanan akademiknya, Adnan ketika ditemui selepas konvokesyen tersebut menjelaskan, walaupun telah memiliki Diploma Pendidikan dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya (UM) di usia mudanya tetapi atas faktor minat terhadap ilmu, beliau menyambung pengajian dalam bidang perundangan pula.

Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di sini pada 1984 dan saya termasuk dalam kelompok kedua jurusan ini, tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil untuk bertanding pilihan raya pada 1986," katanya kepada pemberita pada majlis konvokesyen itu di Dewan Utama Pusat Kebudayaan, UIAM dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adnan yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018 itu berkata beliau seronok dikelilingi rakan-rakanya ketika sedang mengulang kaji pelajaran.

"Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi oleh kawan-kawan saya. Semasa mereka datang minum kopi, semasa itulah saya belajar kerana ia lebih cepat untuk saya. Ramai orang agak hairan mengapa saya kalau tiada kawan, saya tidak boleh belajar," katanya.

Menurutnya beliau berjaya menamatkan pengajiannya setelah tiga semester mengikuti pembelajaran secara dalam talian manakala selebihnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama pensyarah.

"Saya diberi tempat yang khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi, saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak-anak saya, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya," katanya berseloroh.

Apabila ditanya adakah beliau mempunyai perancangan menceburi bidang guaman selepas ini, beliau berkata: "Saya bercadang begitu, besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, insya-Allah.

Adnan Yaakob menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada Majlis Konvokesyen
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-38 di UIAM/FOTO BERNAMA

Namun begitu saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang yang tertentu," katanya.

Adnan menyertai politik pada 1969 dan telah memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong dan Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 1987 sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999.

Beliau merupakan Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Media Baharu