fb fb fb fb fb

Acara Bot Merdeka Terengganu semarak semangat patriotik

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 1 September – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Terengganu meriah dengan penganjuran Pertandingan Perarakan Bot Merdeka Terengganu 2025, meskipun keadaan cuaca tidak menentu.

Lebih 10,000 pengunjung membanjiri tebing Sungai Terengganu untuk menyaksikan perarakan yang penuh warna-warni, sekali gus menyemarakkan rasa cinta kepada negara dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Acara anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera ini melibatkan 91 bot dan kenderaan air dengan 484 peserta merangkumi empat kategori iaitu Bot agensi kerajaan, bot nelayan, Bot Pelancong dan Jet Ski.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan penyertaan peserta dari luar negeri Terengganu

Salah seorang peserta yang ditemui RTM, Mohd Mustazary Ali Musa, 41, berkongsi rasa keterujaannya apabila dapat menyertai perarakan buat kali pertama ketika bercuti bersama keluarga.

“Tak sangka dapat peluang sertai aktiviti ini. Anak-anak sangat teruja merasai suasana kemerdekaan yang berbeza di Terengganu,” katanya.

Bagi Awang Shahrul Mohd, 50, dari Temerloh, Pahang, penyertaan kali pertama ini berbaloi walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan hampir RM400 untuk menghias bot rakannya.

“Suasananya sangat meriah. Memang menjadi tumpuan ramai, tidak rugi datang ke sini,” ujarnya.

Perarakan bermula dari empat jeti utama iaitu Pulau Kekabu Marang, Pengkalan Pok Awang Kuala Terengganu, Jeti Kampung Batin Kuala Nerus dan Pengkalan Tanjung Gelam Setiu, sebelum kesemua bot berkumpul di Muara Sungai Terengganu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD