fb fb fb fb fb

PM cadang pendekatan kesalingbergantungan kedaulatan untuk promosi keamanan, kestabilan global

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

TIANJIN, 1 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Asia untuk melakukan pendekatan kesalingbergantungan kedaulatan untuk mempromosi keamanan dan kestabilan global serta menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia pada ketika ini.

Cadangan itu tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan bahawa autonomi negara akan terhakis sebaliknya dilihat sebagai asas keyakinan dalam mengukuhkan daya tahan serantau

"Inilah seni untuk berdiri teguh tanpa terasing. Ia adalah keyakinan bahawa sesebuah negara boleh kekal sepenuhnya menjadi diri sendiri berdaulat dalam pilihan, suara sambil tetap terbuka kepada aliran perdagangan dan pelaburan.

"Selain itu ia turut meliputi bakat dan teknologi, yang menjadi asas kepada kemakmuran. Ia adalah kepercayaan bahawa kebebasan dan saling kebergantungan bukanlah bertentangan, tetapi saling melengkapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata hubungan kukuh Malaysia-China terjalin atas kepercayaan berterusan yang membolehkan kerjasama bersifat praktikal yang mampu direalisasikan untuk kekal kukuh dan berdaya maju.

"Kita melihatnya dalam infrastruktur berkualiti tinggi yang mempercepatkan hubungan perdagangan kita, perkembangan kerjasama dalam tenaga hijau dan ekonomi digital.

"Ia turut meliputi langkah-langkah kecil dan bermakna yang menyentuh kehidupan seharian, seperti pelaksanaan perjalanan bebas visa secara timbal balik," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI