GEORGE TOWN, 1 September - Seorang kerani pejabat insurans terpaksa berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan 'phone scam' melibatkan kerugian RM601,850.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa, seorang wanita 61 tahun tertipu selepas menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai pegawai bank.
"Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank memaklumkan kepada mangsa bahawa ada individu telah menggunakan kad kredit atas namanya.
"Mangsa menafikan perkara tersebut dan panggilan tersebut terus disambungkan kepada seorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari IPK Johor.
"Pegawai polis tersebut meminta butiran diri mangsa untuk disemak dan selepas itu suspek memberitahu mangsa bahawa dirinya terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan suspek juga telah meminta semua maklumat akaun mangsa yang masih aktif suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan," menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh 14 Ogos hingga 28 Ogos lalu, mangsa telah membuat 14 transaksi pindahan wang berjumlah RM601,850.00 ke empat akaun bank tempatan berbeza.
Mangsa menyedari ditipu setelah memaklumkan perkara itu kepada anak perempuannya sebelum tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan panggilan telefon yang mencurigakan, terutamanya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.