KUALA LUMPUR, 1 September - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan agar usaha memartabatkan pendidikan tahfiz dapat terus diperkasa, sekali gus melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang cemerlang.
Beliau menerusi hantaran Facebook menyatakan perkara itu susulan kejayaan Muhammad Izzudin Hasmadi, anak muda berusia 16 tahun dari suku Temiar, Pos Balar, Gua Musang telah berjaya menjadi anak orang asli pertama yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran bawah program Ulul Albab, sekali gus menerima Anugerah Ibnu Qayyim.
"Saya amat berbangga dengan kejayaan adik Izzudin dan percaya bahawa pencapaian ini mampu meniupkan inspirasi kepada anak-anak Orang Asli serta seluruh anak Malaysia untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan! Semoga adik Izzudin terus istiqamah dan diberi kekuatan untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada ummah. Insya-Allah," menurut hantaran itu.
Pada masa sama beliau mahu kejayaan Izzudin dan para hafiz dalam kalangan orang asli sebelum ini terus menjadi pencetus semangat buat lebih ramai anak orang asli khususnya, dan juga anak-anak Malaysia amnya untuk mencontohi langkah mulia itu.