fb fb fb fb fb

Terengganu terima jambatan bailey RM4.55 juta, langkah persediaan bencana

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat

KEMAMAN -Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menerima sebuah jambatan Bailey sebagai persediaan menghadapi bencana alam khususnya banjir dan tanah runtuh.  

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat berkata, Terengganu merupakan antara negeri pertama menerima jambatan tersebut yang bernilai RM4.55 juta, melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jambatan sepanjang 140 kaki dan lebar 4.2 meter itu berperanan sebagai laluan alternatif sementara bagi memastikan perhubungan penduduk tidak terputus sekiranya jalan utama terjejas akibat bencana.
 
Jambatan tersebut juga bagi memastikan bantuan kecemasan dan logistik dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan.

"Ini menjadi keperluan strategik dalam menghadapi bencana alam seperti seperti banjir besar atau tanah runtuh. Ia membolehkan pemulihan sementara jaringan jalan raya ia dibuat dengan lebih pantas, sekali gus memberikan bantuan kecemasan dan lojistik dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan. Bagi menyokong matlamat ini Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menubuhkan pasukan jambatan Bailey negeri Terengganu yang dianggotai seramai 35 pegawai teknikal terlatih daripada JKR serta cawangan," katanya.
 
Datuk Haji Hanafiah berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di Bawah Peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) Negeri Terengganu di Kampung Durian Mentangau.
 
Hadir sama pada majlis itu ialah, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu Ir Dr Hasli Ibrahim.
 
Menurut Datuk Hanafiah, pasukan yang pertama kali dibentuk itu telah menghadiri sesi latihan menghadapi bencana pada 10 hingga 14 Ogos lalu sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana.
 
Katanya, kerajaan negeri turut menerima dua lagi projek yang telah disiapkan JKR Terengganu bawah peruntukan MARRIS iaitu penggantian jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau dan projek pembinaan jambatan baharu di Felda Panchor Merah di Setiu.
 
Kedua-dua jambatan dan infrastruktur berkenaan rosak teruk ekoran banjir besar tahun 2022 lalu dan telah menjejaskan hubungan antara kawasan dan menyukarkan pergerakan penduduk.
 
Kos bagi kerja pembaikan jambatan di Jalan Durian Mentangau, Dungun sepanjang 400 meter adalah RM5.77 juta menggantikan jambatan sedia ada dan bina siap lima bulan lebih awal pada 5 Jun lalu.
 
Projek pembinaan jambatan konkrit baru sepanjang 30 meter dan naik taraf jalan sepanjang 300 meter di Jalan Felcra Pancor Merah di Setiu pula, sebanyak RM4.95 juta dan kedua-dua projek tersebut menggunakan peruntukan MARRIS.

TETITIA YUSOFF