fb fb fb fb fb

Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 76, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral di sini jam 11.08 malam pada Ahad.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Menurut kenyataan di Facebook rasminya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

"Dukacita dimaklumkan Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

"Allahyarham dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya.

"Atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam," kata kenyataan menerusi Facebook rasminya itu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat orang anak dan dua orang cucu.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor ke-14 sejak tahun 2008 sehingga 2014 selain pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, diantara tahun 2008, 2013 dan 2018.

Media Baharu