KUALA LUMPUR, 23 Mac - Seramai 99,640 peneroka bersetuju menerima tawaran penghapusan hutang secara bersyarat dan telah menandatangani perjanjian menerusi Projek Waja setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata menerusi Pelan Pemulihan Felda itu, sejumlah RM8.3 billion penghapusan hutang dilaksanakan.
"Bayaran balik berdasarkan kadar selepas penghapusan telah mula dilaksanakan pada bulan Ogos tahun lalu dan bagi peneroka yang ladang mereka diuruskan oleh Felda iaitu 53,004 orang peneroka.
"Manakala peneroka yang menguruskan sendiri ladang menghantar hasil melalui Felda pelaksananan bermula September 2021 yang perlu melalui tempoh pemantauan 6 bulan berdasarkan syarat yang ditetapkan iaitu kira-kira 13,800 orang peneroka," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Khairil Nizam Khirudin di Dewan Negara.
Tambah Mustapha, tawaran tersebut melibatkan seramai 104,894 atau 93 peratus daripada jumlah peneroka yang mempunyai tunggakan pinjaman dengan Felda.