fb fb fb fb fb

980 penduduk di tiga negeri masih terjejas banjir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan menempatkan 980 penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang dan Johor setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, jumlah penduduk terjejas banjir tertinggi masih direkodkan di Terengganu dengan 923 orang daripada 275 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS di Dungun.

Johor pula merekodkan 29 penduduk terjejas banjir daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi.

Manakala di Pahang, 28 penduduk terjejas banjir daripada enam keluarga masih ditempatkan di dua PPS negeri tersebut.

"Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

"Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu)," menurut NADMA.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM