PUTRAJAYA, 21 Mei- Sebanyak 98.5 peratus graduan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya memperolehi pekerjaan setelah tamat pengajian.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, lepasan TVET mudah untuk mendapatkan kerja kerana memiliki kemahiran dan peluang besar dalam pasaran pekerjaan.
"Kita tahu bahawa MARA umpamanya meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk melihat kemasukan di GIATMARA, IKN, MRSM, UniKL dan beberapa institusi yang lain-lain.
"Ukurannya, bukan berapa ramai yang masuk tetapi berapa ramai yang menamatkan pengajian mendapat pekerjaan setakat ini semua TVET bawah KKDW terutamanya MARA berada pada tahap 98.5 peratus dari segi memperoleh pekerjaan,"katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan dari jumlah tersebut sebanyak 1.5 peratus belum memperolehi pekerjaan berikutan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau menjelaskan demikian pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Aspresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya.