fb fb fb fb fb

95 peratus permohonan BKM manfaatkan kemudahan dalam talian

PUTRAJAYA,13 Januari - Hampir 95 peratus daripada lebih 1.7 juta permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diterima setakat 10 Januari lalu merupakan permohonan secara dalam talian.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BKM akan memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion tahun ini.

"Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM, tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini BKM dibuka mulai 1 Januari sehingga hujung bulan ini bagi memastikan mereka yang layak dapat mengemukakan permohonan masing-masing.

"Penerima sedia ada yg mempunyai sebarang perubahan maklumat berpeluang membuat kemaskini," kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut membuka kaunter perkhidmatan di semua pejabat cawangannya pada hujung minggu pertama dan keempat bulan ini.

Mengulas mengenai kemajuan inisiatif dilaksanakan kerajaan tahun lalu Tengku Zafrul menjelaskan, sebanyak 11 juta rakyat negara ini telah menikmati pemberian Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan berjumlah RM8.8 bilion.

Inisiatif Jamin Kerja yang memperuntukkan RM4.8 bilion pula, berjaya menjana 558,633 peluang pekerjaan, melangkaui sasaran ditetapkan sebanyak 500,000 pekerjaan.

Tahun ini tambahnya, sasaran dinaikkan kepada 600,000 peluang pekerjaan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Media Baharu