KUALA LUMPUR, 13 Januari - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 3.45 petang tadi selepas berjaya menjalani prosedur perubatan elektif.
Dalam satu kenyataan ringkas, IJN memaklumkan Dr Mahathir akan menjalani proses pemulihan seterusnya di rumah.
Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sejak 7 Januari lepas.
"Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan mendoakan kesihatannya sejak seminggu lalu, apabila Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara," menurut kenyataan itu.
Pada 16 Disember lalu, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenar keluar dari IJN pada pukul 11.39 pagi 23 Disember.