PASIR MAS, 27 Disember- Banjir yang melanda negeri Kelantan pada kali ini menyebabkan hampir 90 peratus kawasan di Rantau Panjang, di sini, digenangi air susulan banjir gelombang ketiga, sejak tiga hari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal @ Jainal Madasin berkata beberapa jalan utama untuk ke Rantau Panjang juga terpaksa ditutup kerana ditenggelami air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
Beliau berkata, bagaimanapun keadaan masih terkawal dengan kerjasama pihak bomba serta agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
"Kami juga difahamkan paras air Sungai Golok mencatat bacaan tertinggi berbanding tahun sebelun ini dengan bacaan paras air melebihi bacaan 11 meter. Kesannya, beberapa penempatanya yang sebelum ini tidak menerima limpahan air turut terjejas.
"Bagaimanapun, paras air dilihat sedikit menurun tetapi semua penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga kerana bimbang jika hujan masih berlaku selain paras Sungai Jenob di Tanah Merah juga masih di tahap amaran," katanya ketika ditemui selepas turun padang membuat pemantauan di pekan Rantau Panjang, di sini, semalam.
Tambah Zainal, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga 24 jam membantu mangsa banjir bukan sahaja di jajahan Pasir Mas, malah beberapa daerah lain seperti Kuala Krai, Machang dan Gua Musang yang turut dilanda banjir.
Semalam, air Sungai Golok dilaporkan berada pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 meter (m).
Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan berkata, paras air Sungai Golok setakat ini paling tinggi pernah direkodkan ialah 10.84m pada 2014.
Dalam pada itu, Zainal turut meminta orang ramai meletakkan kenderaan di tempat selamat serta tidak menghalang laluan agensi keselamatan untuk menjalankan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.
Katanya, tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut menyukarkan dan melambatkan operasi menyelamat penduduk terjejas banjir selain mengancam keselamatan orang lain.