RENGGAM, 27 Disember- Sebuah bas ekspres yang membawa 36 penumpang dan seorang pemandu telah terbabas dan terbalik di Kilometer 41.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Arah Utara, Johor, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 3.45 pagi melalui talian MERS999.
Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP) Abd Rahim Razali berkata, tiga penumpang mengalami kecederaan, melibatkan seorang lelaki patah kaki, seorang wanita patah tengkuk dan seorang lagi wanita cedera ringan.
Usaha mengeluarkan mangsa cedera oleh bomba turut dibantu penumpang lain.
Kesemua mereka kemudian diserahkan kepada petugas ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital berhampiran bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, 34 orang lagi selamat termasuk empat kanak-kanak.