fb fb fb fb fb

Banjir enam negeri, lebih 25,000 penduduk terjejas

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Seramai 25,077 penduduk daripada 7,725 keluarga terjejas banjir di enam negeri setakat pukul 3.00 petang tadi.

Menurut portal InfoBencanaJKM, sebanyak 155 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka; membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Sabah dan Johor.

Kelantan merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 17,331 orang daripada 5,514 keluarga yang berlindung di 63 PPS.

Jumlah berkenaan meningkat berbanding 16,624 orang daripada 5,357 keluarga setakat tengah hari tadi.

Manakala di Terengganu, seramai 7,387 penduduk terjejas banjir daripada 2,111 keluarga ditempatkan di 82 PPS setakat tempoh tersebut.

Angka berkenaan berkurang berbanding 8,992 orang daripada 2,525 keluarga setakat tengah hari tadi.

Pahang pula, sehingga kini sebanyak tiga PPS dibuka di negeri itu membabitkan 78 penduduk terjejas daripada 23 keluarga.

Jelas portal InfoBencanaJKM, ia membabitkan daerah Kuantan, Raub dan Lipis.

Sementara itu, di Selangor, hanya satu PPS dibuka sehingga kini.

Menerusi portal tersebut, ia melibatkan empat penduduk terjejas banjir daripada satu keluarga.

Dalam pada itu di Johor, tiga PPS dibuka setakat ini dengan menempatkan 108 orang daripada 30 keluarga.

Dua daerah terjejas banjir iaitu Mersing dan Segamat.

Sabah merekodkan 169 orang daripada 46 keluarga terjejas yang kini berlindung di tiga PPS.

Artikel Berkaitan:
90 peratus kawasan Rantau Panjang dilanda banjir
Situasi banjir di Mersing tidak berubah
Banjir: Penduduk terjejas di enam negeri meningkat pagi ini
333 penduduk terjejas banjir di Pahang

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM