MALIM JAYA, 23 Januari - Jabatan Kesihatan Melaka telah memeriksa sebanyak 98,299 premis kediaman dan perniagaan telah dengan 9,500 premis didapati positif pembiakan nyamuk aedes sepanjang tahun lalu di Melaka.
Daripada jumlah tersebut 1,398 pemunya atau penduduk premis dikenakan tindakan kompaun bawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr. Ruzita Mustaffa berkata, sebanyak 260 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dengan 39 kes disabitkan kesalahan membabitkan jumlah denda RM11,810.
"Untuk tahun ini hingga 18 Januari kita telah memeriksa sebanyak 6,157 premis dan premis positif adalah sebanyak 626 ataupun 10 peratus dan 78 premis yang positif telah kita kenakan tindakan kompaun dengan kompaun yang kita tawarkan adalah RM45,500," kata Dr. Ruzita.
Beliau berkata demikian selepas dalam Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam sempena Tahun Baru Cina di Malim Jaya, Melaka.
Operasi itu menguatkuasakan empat akta secara serentak iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852); Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (Akta 154); Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Dalam pada itu Dr. Ruzita memaklumkan sebanyak 50 premis telah diarah tutup sepanjang tahun lalu di negeri itu membabitkan kesalahan bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Masing-masing 42 restoran atau kedai makan, empat kantin dan dapur serta empat premis pasaraya dan kilang dengan sejumlah 2,013 notis kesalahan dikeluarkan.
Sebanyak 1,372 kompaun dikeluarkan dengan nilai RM440,550.
"Untuk tahun ini pula kita telah pun memeriksa sebanyak 89 premis dan dua premis telah kita arahkan untuk ditutup atas kesalahan-kesalahan tertentu. Notis kesalahan pula kita telah keluarkan sebanyak 70 dan kompaun yang kita tawarkan sebanyak 26 dengan jumlah RM16,450," katanya.
Dalam operasi hari ini sejumlah 101 barangan telah disita membabitkan pelbagai kesalahan.
Turut dikeluarkan notis kesalahan mengikut peraturan 11 (1) (j), Peraturan-peraturan Makanan 1983 kerana menjual makanan yang tiada maklumat pengimport.