fb fb fb fb fb

MPHTJ: Penamatan kontrak Kolam Ayer Panas Bemban ikut perundangan

Kolam Ayer Panas, Bemban, Melaka

BEMBAN, 23 Januari- Penutupan dan penamatan kontrak Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas, Bemban, Melaka dibuat mengikut prosedur perundangan.

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak operator telah diberi notis beberapa kali sejak 2023 sebelum arahan penutupan dibuat.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan operator, bahawa penamatan kontrak dibuat serta-merta baru-baru ini.

Jelas MPHTJ, Notis Langgar Syarat diberi seawal 5 Oktober 2023 disusuli tiga kali notis lain pada tahun sama.

Seterusnya pada 2024, empat lagi notis diberi dengan Notis Akhir adalah pada 23 September 2024 selain dua kali teguran dalam Mesyuarat Pengurusan Premis.

Ia berkaitan pelaksanaan kerja-kerja pembersihan, penambahbaikan dan penyelenggaraan.

Arahan penamatan dibuat pada 10 Januari 2025 selepas hasil semakan di tapak mendapati operator masih gagal mematuhi arahan MPHTJ.

Tegas PBT itu, isu keselamatan, kesihatan awam dan kebersihan merupakan perkara utama yang dipandang serius.

Sementara itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai penutupan Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas, Bemban, Melaka.
 
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penamatan kontrak dibuat susulan operator gagal mematuhi notis dan peringatan yang telah diberi Pihak Berkuasa Tempatan.
 
“PBT iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya pasti sudah mengkaji apa isu dan sebabnya kerana APJ ini sudah lama diserahkan kepada syarikat tersebut jadi adalah isu-isu berkaitan kontrak seperti yang saya difahamkan," katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri tidak akan menutup lokasi pelancongan tanpa sebab munasabah khususnya pada Tahun Melawat Melaka yang sedang dilaksana.
 
Beliau akan mendapatkan laporan lanjut mengenai perkara itu daripada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE