CYBERJAYA, 23 Januari- Lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu mencatatkan kadar kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) tertinggi di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, memaklumkan isu NRW ini menjadi cabaran besar kepada kebanyakan negeri akibat penggunaan paip usang berusia lebih 60 tahun.
Jelasnya, sebanyak 150 juta liter air terawat di Perlis dikesan hilang setiap hari sekali gus menjadikan negeri itu tertinggi merekodkan kadar NRW sebanyak 60 peratus.
"Jika kita dapat jimat RM8 juta, ia adalah keuntungan besar untuk Air Perlis. Oleh itu, komuniti akan memantau secara teliti dengan pendekatan berdasarkan bukti untuk mengenal pasti cara mengurangkan sebanyak mungkin dalam masa yang sesingkat mungkin, supaya pendapatan dapat meningkat.
" Ini juga adalah cara anda menguruskan NRW (Non-Revenue Water) sebagai langkah untuk menguruskan kelestarian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Pelan Tindakan bagi Mentransformasikan Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Perlis di Ibu Pejabat SPAN, hari ini.
Pelan itu merangkumi usaha mengurangkan NRW, meningkatkan kompetensi tenaga kerja, serta menyediakan perancangan bagi pelaksanaan projek infrastruktur.
SPAN menekankan komitmen untuk memastikan kelangsungan bekalan air melalui tadbir urus dan projek pembangunan yang berkesan.
Bagi menangani masalah itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang merangka pelan menyeluruh untuk menggantikan infrastruktur lama serta mengurangkan NRW kebangsaan kepada 28.8 peratus menjelang 2030.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan usaha itu dilaksanakan melalui proses penggantian paip di seluruh negara yang sedang dilakukan secara berperingkat.