KUALA LUMPUR, 20 Mac- Seramai 8,316 pelatih direkodkan telah mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sejak 2021 hingga Februari tahun ini.
Ia melibatkan program secara berpakej dengan persijilan professional dengan pembiayaan berjumlah RM69.44 juta, jelas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
"Mulai tahun 2021, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) telah mula menawarkan pembiayaan merangkumi pelbagai kursus latihan peningkatan kemahiran jangka masa pendek yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam bentuk modular dengan izin, program 'micro credential' dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
"Kursus yang ditawarkan memfokuskan kepada set kemahiran spesifik dilaksanakan secara berpakej dan nilai tambah dengan persijilan professional,"katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Tenggara, Manndzri Nasib berhubung tawaran pinjaman PTPK kepada pelatih TVET.