fb fb fb fb fb

JAWI saran masjid dan surau laksana solat hajat untuk Palestin

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mac- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk melaksanakan solat hajat.

Dalam satu kenyataan JAWI memaklumkan, solat hajat ini dilakukan bagi mendoakan perlindungan dan keselamatan berterusan buat rakyat Palestin susulan kenyataan tegas dan konsisten yang dizahirkan oleh kerajaan.

JAWI mencadangkan kepada masjid, surau dan surau Jumaat untuk melaksanakan solat hajat pada setiap hari Khamis selepas solat fardu Isyak dan hari Jumaat selepas solat Jumaat setiap minggu, sepanjang bulan Ramadan bermula 21 Mac 2024.

Menurut JAWI, doa dan munajat pada bulan Ramadan yang mulia ini merupakan lambang solidariti dan empati umat Islam berikutan penindasan dan kekejaman berpanjangan yang dilakukan oleh rejim Israel.

"Orang ramai juga diseru untuk melipatgandakan amalan kebajikan dengan mengimarahkan masjid dan surau bagi meraih ganjaran pahala pada bulan Ramadan ini,"menurut kenyataan JAWI.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE