fb fb fb fb fb

8,000 pengguna di Sarawak bakal menikmati bekalan elektrik sepenuhnya di bawah ALAF

KUCHING, 28 Julai - Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Sarawak Energy Berhad (SEB) terus komited untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak kepentingan bagi menjayakan inisiatif Skim Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) agar semua isi rumah di seluruh negeri ini dapat menikmati bekalan elektrik dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, tahap liputan bekalan elektrik di negeri Sarawak setakat ini sebanyak 98.6 peratus dan pihaknya kini sedang berusaha untuk menyediakan bekalan elektrik terutamanya di kawasan pedalaman.

Katanya terdapat beberapa isu-isu berbangkit yang perlu ditangani bersama bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Saya hendak menekankan bahawa projek ini sedang dilaksanakan tidak mengira masa dan bukannya semasa pilihan raya sahaja. Pihak terlibat sentiasa sibuk di lapangan melakukan kerja-kerja dan kita hendak mempercepatkan proses ini,” tegasnya.

(Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi/FOTO RTM)

Jelas beliau, setakat ini, lebih 8,000 daripada 40,000 permohonan ALAF telah siap dilaksanakan, tetapi jumlah permohonan dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa berikutan peningkatan jumlah pemilik rumah baharu.

"Meskipun terdapat baki 32,000 permohonan, namun berkemungkinan akan ada permohonan baharu bagi mereka yang hendak membina rumah baharu.

"Bagaimanapun, projek ini masih berterusan dan kami berharap pihak yang terlibat dapat mempercepatkan projek tersebut agar rakyat mendapat bekalan elektrik secara menyeluruh dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Program ALAF Mempertingkatkan Lagi Kepantasan Pelaksanaan anjuran bersama Kementerian dan SEB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Rabu.

Tambahnya, kerjasama semua pihak adalah penting untuk mengenalpasti isu-isu yang perlu di atasi bagi mempercepatkan pelaksanaan proses bekalan elektrik di kawasan-kawasan luar bandar.

Ini termasuk pencarian serta pengambilan lebih banyak kontraktor bagi menjamin pelaksanaan projek yang lebih efisyen.

Media Baharu