fb fb fb fb fb

79,360 premis di Perak terputus bekalan air

 (Pergerakan tanah yang mengakibatkan kedudukan paip air mentah beralih hingga menyebabkan
bekalan air di Perak terjejas/
FB DrNajihatussalehah Ahmad)

LUMUT, 1 April- Sebanyak 79,360 akaun bekalan air di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air sejak tengah hari semalam, selepas paip yang menyalurkan air tersebut terputus.

Menurut kenyataan Lembaga Air Perak (LAP), gangguan itu melibatkan keseluruhan kawasan Pulau Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar, Lekir dan Kayan di daerah Manjung serta Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis di daerah Perak Tengah.

"Loji Rawatan Air di Teluk Kepayang di daerah Perak Tengah telah menghentikan penyaluran air sejak pukul 12.40 tengah hari semalam dan dijangka akan pulih pada Isnin ini secara berperingkat.

“Ia berpunca daripada pergerakan tanah sehingga mengalihkan kedudukan paip air mentah bersaiz 1,200 milimiter (mm) diameter di dalam tanah menyebabkan paip tersebut putus dan air mentah tidak dapat disalurkan ke loji rawatan air,” jelas kenyataan itu.

LAP memaklumkan, kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan loji untuk beroperasi pada kadar 30% dan pihaknya akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat bagi agihan bekalan air bersih.

"Dalam tempoh ini, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah," jelasnya.

 (Foto FB DrNajihatussalehah Ahmad)

Media Baharu