
KUALA LUMPUR. 27 Oktober – Usaha berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu kesesakan serta memendekkan masa menunggu pesakit di fasiliti kesihatan awam seluruh negara menunjukkan perkembangan positif.
- KKM menjawab soal isu kesesakan dan purata masa menunggu di Jabatan Kecemasan serta langkah mengurangkan kelewatan kemasukan wad.
- KKM mempergiat pelaksanaan langkah jangka pendek dan panjang untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan.
- Inisiatif diperkuat: Lean Healthcare, penubuhan Unit Pengurusan Katil, perkhidmatan rawatan harian, pendekatan hospital kluster.
- Meneliti Pelan Pengurusan Penjagaan Klinikal Bersepadu dan pembedahan global untuk membolehkan hospital tanpa pakar jalankan prosedur tidak rumit.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini terbukti apabila hampir 72 peratus hospital utama negara berjaya mencatatkan purata masa menunggu katil kurang daripada lapan jam setakat Jun tahun ini, berbanding 55 peratus pada tahun 2025.
Tambahnya, pencapian itu melibatkan 28 daripada 39 hospital negeri dan pakar utama yang berdepan jumlah pesakit tinggi di Jabatan Kecemasan serta menerima limpahan kes rujukan dari daerah berhampiran.
“Secara relatif, pencapaian ini adalah satu peningkatan berbanding tahun 2025 di mana 55.26% peratus hospital yang terlibat mencatatkan purata masa menunggu katil kurang dari 480 minit.
“Manakala sejumlah 94 daripada 103 hospital bersamaan 91.3% Jenis 3 dan 4 pula terdiri daripada Hospital Pakar Minor & Hospital Tanpa Pakar mencatatkan purata masa menunggu
katil kurang dari 240 minit,” katanya
Beliau menjawab soalan Wakil Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai jumlah hospital kerajaan yang mengalami kesesakan berterusan di Jabatan Kecemasan serta purata tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan dan kemasukan ke wad, selain langkah konkrit kementerian bagi mengatasi isu berkenaan agar pesakit menerima rawatan segera.
Pada masa sama, KKM terus mempergiat pelaksanaan pelbagai langkah jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Bagi memperkukuh pengurusan pesakit secara menyeluruh, kementerian turut memperkasakan inisiatif Lean Healthcare, penubuhan Unit Pengurusan Katil (Bed Management Unit – BDU), perkhidmatan rawatan harian dan pendekatan hospital kluster.
Selain itu, KKM sedang meneliti pelaksanaan konsep Pengurusan Penjagaan Klinikal Bersepadu serta pembedahan global bagi membolehkan hospital tanpa pakar menjalankan prosedur pembedahan tertentu yang tidak rumit.