MERSING, 7 Januari - Kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf jalan Persekutuan yang rosak di Johor termasuk FT03 (Mersing-Kota Tinggi-Johor Bahru) dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga kini kira-kira 70 peratus daripada kerosakan telahpun dibaiki.
"Saya juga nak kongsikan bahawa, Alhamdulillah, ada perbezaan yang cukup ketara terhadap jalan-jalan Persekutuan (selepas diselenggara) terutamanya dari Kota Tinggi ke Mersing (FT03).
"Pada masa sama, jalan-jalan Persekutuan yang lain pun termasuk FT01 (Muar-Yong Peng-Johor Bahru) dan FT05 (Muar-Batu Pahat-Pontian-Johor Bahru) pun kita sedang usahakan (diselenggara), " katanya kepada pemberita selepas melawat projek Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tenggaroh di sini.
Mengulas mengenai projek R&R Tenggaroh, Onn Hafiz berkata hentian yang menjadi laluan utama pengguna ke pantai timur dengan kos keseluruhan RM8.2 juta itu dijangka siap akhir tahun depan.
"Kita akan pecahkan projek ini kepada tiga fasa untuk diluluskan dan insya-Allah pada akhir tahun hadapan kawasan R&R ini akan selesai dibina.
"Pada masa sama, seperti dibentangkan akan ada stesen minyak yang mempunyai kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) agar mereka yang menggunakan kenderaan berkenaan boleh mengecasnya di sini selain untuk pemandu kenderaan berat," katanya lagi.