BALING, 7 Januari- Galeri Rundingan Baling dibuka semula kepada orang ramai bermula hari ini, selepas selesainya kerja-kerja naik taraf, hujung tahun lepas.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Suhaidi Shukri berkata, galeri ini mempamerkan peristiwa sejarah berkaitan Baling yang berlaku sebelum kemerdekaan.
Pada peringkat permulaan, ia hanya dibuka pada setiap Ahad dari 10 pagi hingga 4.30 petang dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
"Pihak sekolah, pelajar dan juga masyarakat setempat atau pun di luar daerah Baling bolehlah mengambil kesempatan untuk mengunjungi galeri ini kerana ia mempunyai dan menyimpan satu sejarah yang tersendiri, yang unik dan patut kita ketahui untuk tatapan generasi baru dan yang akan datang," katanya.
Ujar Suhaidi, pembukaan Galeri Rundingan Baling itu juga dilihat bakal merancakkan lagi sektor pelancongan di daerah berkenaan.
Sekolah Kebangsaan Tunku Putera yang digunakan sebagai tempat Rundingan Baling juga telah diwartakan sebagai Tapak Warisan.
Menyingkap sejarah, Rundingan Baling berlaku pada 28 dan 29 Disember 1955 merupakan detik penting bagi sejarah tanah air sebagai usaha menamatkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).
Ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Dato’ Sir Tan Cheng Lock; David Marshall dengan dan pemimpin PKM terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.