
KUCHING, 12 November – Seramai 683 murid Tahun Enam memperoleh Gred A dalam ketiga-tiga mata pelajaran Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak 2026, meningkat hampir empat kali ganda berbanding 176 murid pada tahun lalu.
- Prestasi keseluruhan meningkat, 70.14% murid lulus tiga mata pelajaran, naik 11.18 mata peratus berbanding tahun sebelumnya.
- Kadar kelulusan: Sains 93.19%, Bahasa Inggeris 85.34% dan Matematik 74.76%.
- Purata markah Bahasa Inggeris turun 3.23 mata peratus, kementerian rancang intervensi, sokongan tambahan dan perbincangan dengan sekolah terutama luar bandar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian itu melibatkan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Prestasi keseluruhan penilaian berkenaan turut menunjukkan peningkatan apabila 70.14 peratus murid lulus dalam ketiga-tiga mata pelajaran, meningkat 11.18 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi kadar kelulusan mengikut mata pelajaran, Sains mencatatkan 93.19 peratus, diikuti Bahasa Inggeris, 85.34 peratus, dan Matematik, 74.76 peratus,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan UP-DLP Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Roland, berkata perbincangan akan diadakan bersama sekolah yang mencatatkan pencapaian lebih rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi mengenal pasti langkah praktikal untuk meningkatkan penguasaan murid.
Katanya, kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak akan turut memberi tumpuan kepada penyediaan sokongan tambahan serta memastikan intervensi disalurkan kepada sekolah yang paling memerlukan.
Ini susulan penurunan purata markah Bahasa Inggeris sebanyak 3.23 mata peratusan, meskipun mata pelajaran itu kekal sebagai subjek dengan pencapaian terbaik, dengan 49.31 peratus murid memperoleh Gred C dan ke atas.
“Purata markah bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris mencatatkan penurunan sebanyak 3.23 mata peratusan, meskipun mata pelajaran ini kekal sebagai subjek dengan pencapaian terbaik, dengan 49.31 peratus murid memperoleh Gred C dan ke atas,” katanya.
Menurutnya lagi, sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman secara umumnya turut dikenal pasti mencatatkan prestasi lebih rendah berbanding sekolah di kawasan bandar, pedalaman dua dan pedalaman tiga.
Mengulas pendekatan penambahbaikan, Datuk Seri Roland, berkata pelaksanaan Sistem Pemarkahan Dalam Talian bagi tahun kedua membolehkan prestasi murid dianalisis dengan lebih terperinci, termasuk berdasarkan setiap soalan.
“Kaedah itu membolehkan bidang pembelajaran dan konsep yang sukar dikuasai dikenal pasti, sekali gus membantu guru serta pihak sekolah merancang intervensi berdasarkan jurang pembelajaran sebenar,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya sedang meneliti dapatan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan pihak sekolah bagi merangka intervensi yang lebih berfokus.
Sementara itu, beliau berkata kesemua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) merekodkan peningkatan prestasi keseluruhan, manakala lebih 70 peratus sekolah turut menunjukkan peningkatan.
“Kesemua 30 Pejabat Pendidikan Daerah mencatatkan peningkatan dalam prestasi keseluruhan masing-masing, manakala lebih 70 peratus sekolah turut menunjukkan peningkatan,” katanya.
Seramai 29,126 murid daripada 1,045 sekolah rendah mengambil bahagian dalam UP-DLP Sarawak 2026.