fb fb fb fb fb

67 daerah sering dilanda banjir dikenal pasti

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/FOTO RTM

BAGAN DATUK, 4 November -Sekurang-kurangnya 67 daerah seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan sering dilanda banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata koordinasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi penguatkuasaan telah diadakan bagi merangka strategi dan pelan tindakan sebagai persediaan awal.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN), pihaknya telah memperoleh senarai mangsa banjir yang perlu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika tempoh Monsun Timur Laut pertengahan bulan ini

"NADMA telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal di mana terdapat sekolah-sekolah yang selama ini telah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara untuk dibangunkan sebagai dewan pusat pemindahan kekal.

"Tandas dan juga tempat mandi disediakan sepenuhnya mengikut jumlah potensi senarai mereka yang menjadi mangsa bencana negara", katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di sini.

Tambahnya, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM500 juta bagi program mitigasi banjir dan projek tebatan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata  tujuh jambatan Bailey tambahan akan dipasang di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko mengalami banjir besar susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara November ini.

Katanya, pembinaan jambatan itu merupakan antara kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir selain penyediaan Pusat Pemindahan Kekal.

"Bagi kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir, NADMA telah menempah tujuh jambatan Bailey dan pemasangannya akan dilakukan oleh Kor Juretera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya (KKR)", ujar Zahid.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD