KUALA LUMPUR, 4 November- Pemantauan berterusan terhadap bekalan dan harga jualan ayam wajar diteruskan, meski tiada kenaikan secara drastik ketika ini.
Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Suzana Md Samsudi berkata, ia bagi memastikan harga jualan yang akan diapungkan kekal pada kadar munasabah dan tidak membebankan pengguna.
"Pemantauan itu memang perlu ada. Sebab pasaran bebas, kapitalis sebab pasaran itu memang akan ada unsur-unsur disitu motivasi untuk mereka meningkatkan keuntungan semaksima mungkin, jadi etika penjual satu perkara dan etika penjual dan pengeluar satu perkara, jadi memang kerajaan perlu melakukan pemantauan", katanya kepada RTM.
Sementara itu, jelasnya langkah apungan harga ayam berpotensi meningkatkan harga makanan di luar rumah.
Namun, pengguna juga harus bijak mencari alternatif dan menggantikan sumber protein yang lebih ideal selain mengurangkan aktiviti makan di luar rumah.
Setakat September lalu, kadar inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9 peratus, menyaksikan komponen makanan di luar rumah kekal pada 5.9 peratus seperti bulan sebelumnya.