fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan bakal laksanakan semakan semula tarif air

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun/FOTO RTM

SEREMBAN, 4 November - Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk melaksanakan semakan semula tarif air di negeri itu dalam masa terdekat bagi memastikan perkhidmatan bekalan air menjadi lebih cekap dan berkualiti.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata semakan semula tarif air perlu dilakukan memandangkan kos operasi penyelenggaraan bekalan air yang semakin meningkat.

Menurut Aminuddin, tarif air di negeri berkenaan tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lalu.

"Kos kita terus meningkat, elektrik juga meningkat. Sedangkan tarif air tidak meningkat.

"Masyarakat perlu faham alasan mengapa kita naikkan tarif air."Kos seperti bekalan elektrik, bahan digunakan untuk merawat air, aktiviti penyelenggaraan serta pembaikan sistem agihan air meningkat", katanya ketika ditemui media pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Sembilan 2023 di sini.

Aminuddin bagaimanapun menjelaskan kenaikan berkenaan dijangka tidak membebankan rakyat.

Aminuddin turut memaklumkan, kenaikan tarif itu akan diputuskan oleh Kerajaan Pusat berdasarkan kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak beberapa tahun lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD