fb fb fb fb fb

Kelantan dan Terengganu catat penambahan penduduk terjejas banjir

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 22 Disember- Penduduk terjejas banjir di seluruh negara merekodkan 66,172 orang daripada 18,899 keluarga, setakat pukul 4.00 pagi ini.

Angka itu mencatatkan sedikit peningkatan berbanding seramai 66,164 orang daripada 18,893 keluarga pada pukul 12.00 tengah malam tadi.

Berdasarkan Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 378 pusat pemindahan sementara (PPS) kekal dibuka di lima negeri.

Menurut NADMA, penambahan jumlah penduduk terjejas itu direkodkan di Terengganu iaitu seramai 35,956 orang daripada 9,675 keluarga, berbanding 36,099 daripada 9,722 keluarga.

"Kesemua mereka ditempatkan di 255 PPS.

"Kemaman merekodkan 7,271 orang, Besut (6,672), Dungun (6,036), Hulu Terengganu (5,954), Kuala Nerus (3,888), Kuala Terengganu (2,838), Setiu (2,375) dan Marang (922)," menurut kenyataan.

Sementara itu, Kelantan turut mencatatkan peningkatan iaitu 30,107 orang daripada 9,189 keluarga, berbanding 29,956 orang daripada 9,136 keluarga.

"119 PPS dibuka di sembilan daerah iaitu Pasir Mas mencatatkan seramai 13,899 orang, diikuti Pasir Puteh (5,887), Tumpat (4,624), Bachok (1,693), Kota Bharu (1,501), Kuala Krai (1,446), Tanah Merah (762), Jeli (165) dan Machang (130)," menurut kenyataan itu.

Manakala Johor, Pahang dan Perak kekal mencatatkan jumlah penduduk terjejas banjir, masing-masing seramai 48, 35 dan 26 orang.

"Dua PPS di Johor dibuka bagi menempatkan 48 orang daripada 15 keluarga dari daerah Segamat.

"Pahang kekal membuka satu PPS di Kuantan bagi menempatkan 35 orang daripada lapan keluarga.

"Perak juga masih membuka satu PPS yang menempatkan 26 orang daripada 12 keluarga di Bagan Datuk," menurut kenyataan itu.

(Foto fail)

Media Baharu