fb fb fb fb fb

Permohonan prosiding komital terhadap Isham Jalil ditolak

Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan prosiding komital Pejabat Peguam Negara terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berhubung kenyataannya mengenai kes 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim K. Muniandy memutuskan bahawa kenyataan Isham tidak memberi ancaman terhadap kepercayaan orang ramai kepada sistem kehakiman, jadi pihak pendakwa gagal membuktikan dakwaan penghinaan mahkamah.

"Penghinaan yang dibangkitkan tiada kaitan langsung dengan mahkamah yang mengendalikan perbicaraan dan rayuan kes 1MDB serta SRC yang telah pun selesai. Justeru, kenyataan tersebut tidak lagi menjejaskan pentadbiran keadilan secara langsung," katanya.

Hakim turut menegaskan bahawa undang-undang penghinaan mahkamah bukan untuk mempertahankan maruah hakim, tetapi demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan tidak dihalang.

Beliau turut mengakui bahawa kritikan terhadap hakim dan keputusan mahkamah sudah menjadi kelaziman dalam era media sosial.

"Ketahanan ialah sifat penting bagi hakim. Tugas kami menuntut penghakiman yang bebas, tanpa pengaruh luar atau tekanan pendapat umum," katanya lagi.

Meskipun kebebasan bersuara merupakan asas demokrasi, namun ia mesti dilaksanakan dengan menghormati peranan badan kehakiman.

Kuasa menghukum atas penghinaan mahkamah hanya wajar digunakan dalam kes yang benar-benar menggugat pentadbiran keadilan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar, manakala Isham diwakili peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Prosiding bermula selepas Peguam Negara mendapat kebenaran untuk memulakan tindakan komital terhadap Isham pada 4 Mac 2024.

Ia berkaitan dengan kenyataan yang dibuat Isham dalam program “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa” yang disiarkan di Facebook "The Malaya Post" pada 30 September 2023.

Peguam Negara mendakwa kenyataan itu mencabar kewibawaan badan kehakiman dan keputusan seorang hakim untuk menarik diri daripada kes 1MDB.

Namun, mahkamah hari ini memutuskan bahawa kenyataan tersebut tidak cukup kuat untuk dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI