KUALA LUMPUR, 8 Julai -Perpaduan adalah asas kepada kemajuan negara dan harus dipelihara semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, ia merupakan usaha dalam memperkukuh semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Perpaduan itu penting, tetapi kita harus sentiasa menentang sikap pesimis dan sinis, kerana tiada tamadun agung yang dibina atas dasar pesimisme dan sinisme.
"Malaysia dibina atas visi, kepimpinan yang positif serta usaha berterusan. Kita perlu mengamalkan sikap tidak mudah menyerah kepada gelombang pesimisme dalam arus media semasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari Perpaduan di Wesley Methodist School (International) Kuala Lumpur (WMSKL) di ibu negara.
Sambutan tersebut melibatkan lebih 1,100 pelajar, guru dan kakitangan sekolah dan merupakan sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Antologi Puisi Dwibahasa bertemakan Perpaduan: Resipi Kejayaan Malaysia, hasil kolaborasi bersama Malaysia Book of Records (MBOR).
Antologi itu menghimpunkan karya pelajar serta tokoh profesional tanah air serta merupakan penerbitan pertama seumpamanya dari sebuah sekolah swasta dan mendapat pengiktirafan rasmi daripada MBOR.
Antara penyumbang puisi istimewa termasuk Primadona Filem Melayu Klasik, Datuk Rosnani Jamil, yang menyertai projek tersebut secara spontan selepas dihubungi pihak sekolah.
Beliau mempunyai pengalaman lebih tujuh dekad berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 1951.
"Saya terkejut, tetapi pada masa sama rasa bangga. Tak sangka hasil tulisan saya dihargai dan kini dimuatkan dalam buku yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records," katanya.
Hari Perpaduan yang diadakan setiap tahun itu merupakan inisiatif WMSKL dalam mendidik pelajar tentang sejarah perjuangan negara serta kepentingan mengekalkan keharmonian dan perpaduan demi kemajuan Malaysia.
Pihak sekolah berharap program seumpama itu dapat menyemai semangat nasionalisme dalam kalangan generasi muda serta menyumbang ke arah pembentukan sebuah negara lebih bersatu padu dan mampan.