fb fb fb fb fb

600 pemandu bas ekspres di TBS punyai dokumen sah, bebas dadah

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Sejumlah 600 pemandu bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) didapati mempunyai dokumen sah dan bebas daripada pengaruh dadah menerusi Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022 yang dilaksanakan sejak kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zulkifly Ismail berkata, sebanyak 323 bas turut diperiksa.

"Tinjauan kami di terminal ini adalah bertujuan untuk memastikan bas-bas ekspres yang akan bergerak berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Kita juga memastikan pemandu mempunyai lesen memandu dan dokumen-dokumen yang sah serta bebas daripada pengaruh dadah bagi memastikan penumpang-penumpang yang ingin pulang berhari raya ke kampung dapat ke destinasi masing-masing dengan selamat," katanya selepas meninjau Ops HRAA 2022 di sini.

(Zulkifly Ismail, Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)

Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan operasi penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengesan pemandu bas yang melanggar peraturan trafik.

Selain itu, JPJ turut melaksanakan rondaan di lebuh raya dan jalan-jalan utama persekutuan serta negeri, menjalankan Op Motosikal serta mengenakan had masa perjalanan terhadap kenderaan berat bagi mengurangkan kesesakan trafik.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan membabitkan warga kota yang pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, beliau berkata, pihaknya menjangkakan sekitar 1.9 juta kenderaan bergerak ke utara manakala 1.7 juta ke arah Pantai Timur.

Media Baharu