(Program JKM yang dianjurkan di Sungai Ara, Pulau Pinang)
GEORGE TOWN, 23 Julai- Hampir 60% barangan Jualan Keluarga Malaysia (JKM) habis dijual seawal pukul 11.00 pagi tadi di Pulau Pinang.
Program yang dianjurkan di Perniagaan Sri Juwara, Sungai Ara itu menyediakan pelbagai barangan keperluan dengan potongan harga sehingga 20%.
Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Abd Hamid berkata antara barangan yang mendapat sambutan adalah minyak masak, tepung, gula dan beras.
(Pegawai KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Hafiz Abd Hamid)
"Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) sedikit sebanyak dapat membantu penduduk di kawasan sekitar ini yang tergolong dalam kalangan B40 dan M40", katanya.
Bagi pemilik perniagaan Sri Juwara, Mohd Hafiz Abdul Razak, jualan dengan harga berbaloi ini merupakan sumbangannya untuk meringankan beban penduduk setempat.
"Dapat membantu penduduk setempat untuk untuk meringankan beban, kos sara hidup tinggi, potongan ada yang 10%, 15%, ada yang 7% dan 8%," katanya.
Bagi Salmah Pakchik, beliau melahirkan kesyukuran dan menyifatkan Jualan Keluarga Malaysia tidak membebankan, sekali gus membantu rakyat setempat.
Program tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini. Esok, satu lagi program JKM akan dianjurkan di Perkarangan Masjid Ibadurrahman dekat Kepala Batas.