fb fb fb fb fb

522 projek mitigasi banjir bernilai RM69.77 juta dilaksanakan di Melaka

(FOTO HIASAN)

MELAKA, 13 Disember - Sebanyak 522 projek mitigasi banjir membabitkan peruntukan berjumlah RM69.77 juta telah dilaksanakan di Melaka bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam jangka pendek khususnya di 124 kawasan mudah berlaku banjir di negeri itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 190 projek mitigasi banjir dilaksanakan di daerah Melaka Tengah membabitkan peruntukan berjumlah RM38.15 juta, manakala di Jasin, 157 projek membabitkan peruntukan RM15.54 juta, sementara 175 projek di Alor Gajah dilaksanakan bernilai RM16.08 juta.

(Datuk Rahmad Mariman / FOTO FAIL)

"Peruntukan bagi melaksanakan kesemua projek mitigasi banjir di ketiga-tiga daerah ini disalurkan pelbagai pejabat daerah dan tanah di daerah terbabit.

"Kesemua projek mitigasi berkenaan membabitkan projek kecil yang dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu banjir dalam tempoh jangka masa pendek," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini.

Tambah Rahmad, sebanyak 45 lokasi panas baharu turut telah dikenal pasti di ketiga-tiga daerah di negeri itu dan usaha mengatasi banjir di kawasan berkenaan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Sementara itu, sebagai langkah jangka panjang mengatasi banjir, beliau berkata satu projek yang akan dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Melaka Fasa Satu bernilai RM40 juta dan projek berkenaan kini di peringkat reka bentuk, sebelum pembinaannya ditender Mei tahun hadapan.

Media Baharu