fb fb fb fb fb

500 pelajar disasar sertai projek perintis Program Asasi TVET

(FOTO HIASAN)

JELI, 15 Mei - Seramai 500 pelajar disasarkan untuk mengikuti projek perintis Program Asasi TVET yang diperkenalkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPK).
 
Program diwujudkan khusus bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai persediaan sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda melalui Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
 
Universiti terlibat termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang(UMP), Universiti Malaysia Perlis(UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).
 
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail, permohonan untuk mengikuti program mula dibuka hari ini sehingga 9 Jun depan di pautan http://upu.mohe.gov.my.


(Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail ditemui media 
selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 2023 di Politeknik
Jeli, Kelantan)

"Program asasi TVET ini akan diperkenalkan pada sesi Julai nanti di mana ini adalah khas bagi pelajar lepasan SPM, program asasi TVET ini hanya setahun sahaja dan selepas itu pelajar ini akan menyambungkan pengajian mereka di peringkat ijazah di MTUN di bidang seperti mekanikal elektronik dan juga bidang kejuruteraan awam," kata beliau ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 2023 di Politeknik Jeli, di sini hari ini.
 
Mengulas lanjut, Dr Mohd Zahari berkata lima politeknik yang berdekatan MTUN di pilih menjadi Pusat Asasi TVET adalah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Politeknik Ungku Omar (PUO).
 
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata JPPK sentiasa memantau arahan semasa dikeluarkan pihak berkuasa berhubung cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
 
Setakat ini, pengajian dan pembelajaran di semua politeknik serta kolej komuniti di seluruh negara tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

Media Baharu