fb fb fb fb fb

Bekalan air di Kuala Muda pulih sepenuhnya

SUNGAI PETANI, 15 Mei- Perkembangan masalah gangguan bekalan air di Daerah Kuala Muda, Kedah.
 
Loji Rawatan Air (LRA) Pinang dan LRA Kulim Hi-Tech yang terkesan akibat penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak semalam kini pulih sepenuhnya.
 
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua LRA sudah beroperasi pada kadar maksimum 100%.
 
Manakala usaha meningkatkan pengoperasian LRA Sungai Petani yang mencapai kadar 40% setakat tengah hari tadi masih dilakukan.
 
Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terkesan adalah berbeza dan bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
 
"Para pengguna yang terkesan akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat.
 
"Setakat tengah hari tadi, bekalan bagi 53,000 akaun pengguna atau 30% di Daerah Kuala Muda dan 56,000 akaun pengguna atau 70% di Daerah Kulim telah pulih," menurut kenyataan itu..                                                                          
 Terdahulu, kerja pemasangan pam pelbagai peringkat di muka sauk telah selesai dilaksanakan pada jam 4.00 pagi.
 
Ia merupakan inisiatif segera SADA bagi meningkatkan kapasiti air mentah untuk diproses tanpa menunggu Sungai Muda kembali pada paras normal.
 
Semalam, tiga daerah di Kedah mengalami gangguan bekalan air ekoran penyusutan air Sungai Muda yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj sungai.
 
Tiga daerah yang terjejas ialah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling.
 
Kejadian luar jangka ini mengakibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.
 
Situasi ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 252,000 akaun.

(Bekalan air di Kuala Muda pulih sepenuhnya)

Media Baharu