fb fb fb fb fb

500,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam RMK-12

(FOTO FAIL)

MARAN, 5 September- Pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), antara fokus utama kerajaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Dr.Ismail Abdul Muttalib berkata komitmen itu khabar gembira buat golongan B40 dan M40, memiliki rumah sendiri.

Pada masa sama, jelas beliau, kerajaan juga komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda.

“Dalam konteks di kawasan luar bandar ini mungkin projek perumahan sesuai adalah rumah mesra rakyat terutama mereka bagi golongan muda. Jadi rumah ini mendapat subsidi daripada kerajaan lebih RM32,000 dan saya menyeru supaya anak -anak muda ambil peluang sekarang insyallah selagi saya boleh tolong," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata demikian kepada media selepas merasmikan Himpunan 1000 Anak Muda Maran sempena sambutan Hari Malaysia di Dewan Arena Tengku Muda, Maran, Pahang.


(Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr.Ismail Abdul Muttalib)

Ujarnya, RMM yang dibina di lokasi pilihan di semua negeri turut selari dengan fokus kerajaan supaya lebih ramai mempunyai aset kediaman yang berkonsepkan pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik), seiring matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.

Tambah beliau lagi, kerajaan melalui KPKT tidak mengabaikan pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.

KPKT salah satu agensi pelaksana akan membangunkan 16 projek di lokasi pilihan yang membabitkan sejumlah 16,000 unit rumah dalam tempoh RMK-12.

Pembinaannya turut merangkumi aspek sokongan komponen seperti logistik, akses internet, jaringan perhubungan dan reka bentuk sejajar agenda Malaysia Berdaya Huni.

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan memantau semua projek yang dilaksanakan oleh 15 agensi pelaksana.

Katanya, ketegasan perlu untuk memastikan sasaran pembinaan 500 ribu unit rumah menjelang 2025 menjadi kenyataan.

Media Baharu