fb fb fb fb fb

SOP pelitup muka baharu perlu ambil kira pelbagai aspek

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 September - Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka akan mengumumkan ketetapan baharu pemakaian pelitup muka Rabu ini.

Pengumuman tersebut berdasarkan beberapa indikator COVID-19 di negara ini yang terus menunjukkan penurunan, termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan.

Rata-rata orang ramai yang ditemui RTM memberi pandangan bahawa keperluan memakai pelitup muka bergantung kepada keadaan semasa bagi mengekang penularan COVID-19.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Datuk Dr. Rohaizat Yon berkata ketetapan baharu itu perlu mengambil kira dari aspek data lengkap vaksinasi, kadar sembuh yang tinggi, kemasukkan ke hospital yang semakin menurun, kadar kematian serta kes harian yang menurun.

"Banyak negara memberi kelonggaran dalam pemakaian pelitup separuh muka, namun pemakain masih diwajibkan di klinik, hospital, fasiliti kesihatan, penempatan warga emas dan dalam pengangkutan awam.

"Begitu juga apabila bergejala, khususnya apabila positif COVID-19 dan golongan berisiko. Walaupun diberikan kelonggaran, masyarakat masih digalakkan memakai pelitup separuh muka apabila berada di tempat yang sesak misalnya dalam bangunan serta ruang pengudaraan yang tidak memuaskan," katanya kepada RTM.


(FOTO BERNAMA)

Manakala Pakar Perubatan Swasta SP Care Dr. Harry Dinesh Mahalingam berkata penggunaan pelitup muka merupakan amalan yang baik untuk dikekalkan.

"Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan sesak boleh mengelak penularan pelbagai jangkitan penyakit, bukan saja COVID-19 tetapi selsema biasa seperti tuberculosis, influeza dan sebagainya," katanya.

Pertubuhan Aduan Rakyat Presiden Datuk A. Chandrakumanan menyifatkan kelonggaran pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik sebelum negara menuju ke fasa endemik sepenuhnya.

"Kita telah melalui COVID-19 dan kita di peringkat endemik sekarang dan juga saya faham apa langkah yang diambil oleh KKM untuk memastikan jangkitan ini tidak berterusan.

"Kita bukan saja tengok pada jangkitan COVID-19, sebenarnya banyak lagi virus, langkah yang diambil KKM ini untuk kebaikan rakyat," katanya kepada RTM.

Bermula 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka, namun masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam.

Menterinya, Khairy Jamaluddin juga masih mengumpul maklum balas pandangan daripada orang ramai sebelum mengumumkan keputusan baharu itu esok.

Media Baharu