fb fb fb fb fb

50 hab PoP di Johor, disasar siap November ini

JOHOR BAHRU, 2 April- Sebanyak 50 Hab Rangkaian Gentian Optik 'Point of Presence' (PoP) disasarkan siap di Johor, selewat-lewatnya November ini.

Pelaksanaannya menerusi peruntukan RM725 juta dalam Belanjawan 2023 bagi mempercepat Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata PoP membantu menambah baik capaian internet di sekolah-sekolah khususnya luar bandar, seterusnya turut memanfaatkan penduduk berhampiran.

"Sebenarnya PoP ini sepatutnya disiapkan hujung tahun lalu tapi sampai hari ini tiada satu pun telah disiapkan, jadi kami sudah bagi satu sasaran baharu selewat-lewatnya pada 30 November tahun ini, 50 PoP disiapkan kontraktor," katanya.

(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedar kurma dan bubur lambuk kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia, di sini pada Sabtu.

Jelas Teo, antara isu menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan hujung tahun lepas ialah kerana menunggu kelulusan agensi berkaitan.

Justeru KKD akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelulusan diperoleh secepat mungkin, sekali gus mencapai sasaran 50 PoP November nanti.

Tambahnya, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Johor mencapai 99.09 peratus pada suku ke-4 tahun lepas, manakala 5G mencapai 52.3 peratus.

Dalam perkembangan lain, Insitusi Pengajian Tinggi diminta mengemukakan aduan kepada KKD sekiranya berdepan masalah liputan internet.

Pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dihantar bagi mengenal pasti punca capaian internet di sesuatu kampus kurang memuaskan.

Setakat ini, tiada aduan mengenai perkara itu diterima KKD.

Media Baharu