fb fb fb fb fb

50,000 pelajar lepasan SPM berpeluang lanjut pendidikan ke peringkat lebih tinggi menerusi JPKM

(FOTO BERNAMA)

BERA, 13 Mac- 50,000 pelajar lepasan SPM bagi tahun 2016 sehingga 2021 yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan bakal memperoleh peluang kedua untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. 

Menerusi Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 (JPKM) yang sedang berlangsung, pelajar-pelajar berkenaan digalakkan hadir untuk memohon terus kepada institusi pendidikan terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata jelajah yang akan berlangsung 50 lokaliti di seluruh negara selama dua bulan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya penduduk pedalaman dan luar bandar.

Menerusi kesinambungan program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang lalu itu, pihaknya turut mengalukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan mahupun swasta untuk turut menyumbang dan menaja pelajar-pelajar berkenaan.

"Fokus kita adalah untuk membantu keluarga miskin, untuk membantu pelajar luar bandar dan pedalaman dari segi pendidikannya, dari segi fasilitinya mungkin tidak mempunyai padang permainan yang sama rata dengan pelajar yang berada di bandar."

"Jadi dengan adanya program jelajah ini boleh kita melihat pelajar-pelajar yang sedikit ketinggalan akibat daripada status keluarga mereka dari segi pendapatan dan juga dari segi kedudukan mereka," kata beliau ketika berucap di Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) peringkat negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan surat tawaran kemasukan ke universiti kepada Siti Nurain Lana Busu pada program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) hari ini/BERNAMA)

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Dato Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato Mohd Aizuddin Ghazali.

Menurut beliau, program ini sekali gus turut membantu pelajar berkelayakan mempunyai masalah permohonan sebelumnya.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan penyerahan Cek Replika Tajaan Bantuan Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) RM4 juta, Universiti Antarabangsa UNITAR dan Yayasan Petronas masing-masing RM1 juta biasiswa pendidikan kepada PRIHATIN.

Di Bera, seramai 1,000 pelajar lepasan SPM disasar memperoleh peluang berkenaan sepanjang program berlangsung.

Media Baharu