KUALA LUMPUR, 25 Mac - Sebanyak 5,000 bakul makanan diagihkan bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh Semenanjung sepanjang bulan Ramadan bermula dari 11 Mac sehingga 9 April depan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata inisiatif Ramadan melalui kempen 'Bakul Makanan' itu akan diagihkan kepada keluarga yang akan menerima bakul makanan bernilai RM50 setiap satu bakul.
"Ia akan dimulakan dengan pengagihan bantuan kepada lebih 200 keluarga di kawasan Lembah Pantai.
"Inisiatif ini bertujuan menghulurkan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan ini.
"Komitmen inisiatif ini amat selari dengan agenda dan hasrat kerajaan yang memberi penekanan tinggi terhadap usaha menyantuni dan memartabatkan golongan kurang bernasib baik bagi menjamin kesejahteraan mereka," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Semalam, Fahmi merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Ramadan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama syarikat penghantaran makanan global mudah alih secara dalam talian.
Inisiatif Ramadan itu hasil kerjasama MyFundAction sebuah pertubuhan bukan kerajaan bersama yang memfokuskan kepentingan komuniti tempatan.