fb fb fb fb fb

Nilai eksport produk koko, disasar cecah RM9 bilion - KPK

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Kerajaan optimis bahawa nilai eksport produk koko negara mampu mencecah RM9 bilion pada tahun ini dan akan terus meningkat kepada RM10 bilion pada 2025.

Sasaran itu mengambil kira peningkatan nilai eksport koko sebanyak 47.9 peratus pada tahun lalu yang menyumbang kepada RM8.21 bilion kadar eksport koko negara pada 2023.

Jelas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, nilai eksport biji koko dan produk koko pada 2022 adalah RM7.82 bilion.

"Nilai eksport biji koko dan produk-produk koko pada 2021 pula sebanyak RM6.87 bilion, tahun 2022 sebanyak RM7.82 bilion dan 2023 adalah sebanyak RM8.21 bilion.

Sasaran pada tahun 2024 pula adalah sebanyak RM9 bilion dan dijangka meningkat kepada RM10 bilion pada tahun 2025," kata Datuk Chan di Parlimen, hari ini.

Penyataan bagi menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang.

Pada 2021, pasaran eksport produk koko Malaysia telah menembusi 107 destinasi pasaran di seluruh dunia, dan jumlahnya meningkat kepada 176 destinasi pada 2022, diikuti dengan lebih 250 destinasi pada 2023.

Datuk Chan turut memaklumkan, pihaknya kini bercadang untuk memperluas ladang tanaman koko daripada 5,895 hektar kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun, menfokuskan varieti penanaman koko premium, koko sumber tunggal dan koko berperisa unik untuk menembusi pasaran khusus.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM