fb fb fb fb fb

DSA dan NATSEC Asia 2024, platform pengukuhan pertahanan negara

Panglima Tentera Darat (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 kali ini mengangkat tema, 'Membina Ketahanan Nasional Untuk Generasi Masa Hadapan'.

Menurut Panglima Tentera Darat (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, ia sebagai simbolik kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik dalam bidang ketenteraan, pertahanan dan keselamatan global.

Program dwitahunan itu dijangka menerima 50,000 pelawat-pelawat pedagang dari lebih 70 buah negara selain penglibatan lebih 1,200 syarikat dari dalam dan luar negara serta pelawat-pelawat kenamaan diraja.

Turut diundang termasuk lebih 400 delegasi kenamaan (VVIP) daripada 45 buah negara, terdiri daripada rakan sejawat dalam kementerian serta agensi berkaitan pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan.

"Tahun ini merupakan edisi yang ke-18 untuk DSA dan merupakan yang ketigalah untuk NATSEC Asia. Ini akan memberi ruang kepada kita untuk menjalinkan hubungan diplomasi ketenteraan yang lebih erat dan juga membincangkan perkara-perkara berkaitan, bukan sahaja daripada segi pembangunan teknologi sains ketenteraan atau pun pertahanan.

"Malahan, membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan, pertahanan yang menjadi kepentingan bersama negara-negara terlibat," kata Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain kepada pemberita selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

DSA dan NATSEC Asia 2024 akan berlangsung selama empat hari di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula pada 6 hingga 9 Mei depan.

Sementara itu, DSA dan NATSEC Asia 2024 yang bakal menyaksikan permeteraian kontrak dan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM5 juta diunjurkan menerima penyertaan lebih besar berbanding sebelumnya.

Menurut Pengarah Eksekutif DSA, Nadzeem Abdul Rahman, ia memandangkan acara berprestij itu dapat dilangsungkan secara lebih terbuka berbanding penganjuran pada 2022 yang masih terikat dengan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, acara kali ini menerima penyertaan daripada banyak negara besar termasuk Amerika Syarikat, Itali, China, Turki dan Emiriah Arab Bersatu.

Beberapa segmen baharu turut ditambah seperti 'DSA dan NATSEC Asia Laboratory' serta segmen dron dan robotik, bagi mengetengah serta membuka peluang kepada syarikat-syarikat kecil dan tempatan meneroka usaha sama temasuk pasaran ke peringkat antarabangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM