KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Sebanyak 489 kes penyelewengan subsidi petroleum cecair (LPG) direkodkan sejak tahun lalu hingga 18 Ogos 2025, dengan nilai rampasan mencecah kira-kira RM3.1 juta.
Antara bentuk penyelewengan yang dikenal pasti adalah kegiatan decanting, iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri atau tong komersial.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata kementerian kini giat membanteras aktiviti tersebut melalui Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) yang dilaksanakan sejak 1 Mei lalu hingga 31 Oktober 2025.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh / Foto Bernama
“Ops Gasak bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyelewengan subsidi LPG yang disalahguna sektor tidak layak dalam industri komersial serta perniagaan berskala besar,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, KPDN juga akan memanfaatkan teknologi digital bagi memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan pengedaran, penyimpanan serta penggunaan LPG bersubsidi.
Tambah Dr. Fuziah, harga LPG bersubsidi ditetapkan di bawah kawalan harga pada setiap peringkat rantaian pengedaran termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit, selaras dengan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2015 yang diwartakan pada 1 Julai 2015.
“Bagi kegunaan industri pula, harga LPG adalah tertakluk kepada pasaran semasa tanpa sebarang kawalan harga,” jelasnya.
Ketika ini, harga runcit tong LPG bersubsidi ditetapkan pada RM19.00 bagi 10 kilogram (kg), RM22.80 bagi 12kg dan RM26.60 bagi 14kg.