fb fb fb fb fb

Langgar syarat, kontraktor pusat data terima notis henti kerja

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Syukor berkata, kontraktor terbabit diberikan tempoh dua minggu untuk mematuhi semua syarat sebagaimana diperuntukkan dalam Akta 133 / Foto RTM

ISKANDAR PUTERI, 21 Ogos - Sebuah kontraktor projek pembinaan pusat data di sini dikenakan notis berhenti kerja selepas gagal mematuhi syarat ditetapkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Antara pelanggaran yang dikesan ialah keadaan jalan persekitaran yang kotor, tiada papan tanda keselamatan, ketiadaan pagar penghadang serta aktiviti pembinaan dijalankan sehingga lewat malam.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Syukor berkata, kontraktor terbabit diberikan tempoh dua minggu untuk mematuhi semua syarat sebagaimana diperuntukkan dalam Akta 133.

“Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut diarah meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya syarat pembangunan tidak dipatuhi,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan susulan aduan penduduk.
 
Beliau menegaskan, semua projek pusat data di negeri ini wajib mematuhi garis panduan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor serta Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN).

Johor kini muncul sebagai hab utama pembangunan pusat data negara dengan 13 pusat data sudah beroperasi.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE